Memahami Asas Ikrab Bahasa Arab

Perkataan “ikrab” adalah sangat sinonim bagi penuntut ilmu bahasa Arab. Menjadi satu kemestian untuk memahami ikrab kerana daripada ikrab yang jelas, kita dapat menentukan bacaan sesuatu perkataan dalam ayat.

Kita skip sahaja takrifan ikrab yang kompleks. Jom saya mudahkan. Fungsi ikrab adalah untuk menentukan baris huruf terakhir dalam satu-satu perkataan.

محمد

Huruf terakhir dalam perkataan محمد ialah huruf د (dal). Di sinilah ikrab memainkan peranan sama ada baris huruf dal itu atas دًا – bawah دٍ – depan دٌ.

Bagaimana dengan huruf selain yang terakhir? Huruf-huruf baki tersebut ditentukan oleh ilmu Soraf, adapun kaedah ikrab ini berada bawah skop ilmu Nahu.

#1 Komponen Asas Ikrab

Ikrab mempunyai tiga (3) komponen iaitu kedudukan (mawqi’), hukum (hukm), dan tanda (alamat). Ketiga-tiga komponen ini berkait antara satu sama lain dan perlu ada setiap kali menentukan ikrab.

Secara kasarnya, mawqi’ ditentukan oleh kedudukan perkataan dalam ayat. Contoh:

مُحَمَّدٌ طَالِبٌ

  1. Kalimah: Muhammad
  2. Kedudukan: Di pangkal ayat – oleh itu, Muhammad ialah Mubtada (Subjek)
  3. Hukum: Disebabkan Muhammad = Mubtada, maka hukum Mubtada ialah Marfu’
  4. Alamat: Kalimah Muhammad ialah Isim Alam Munsarif, oleh itu baris akhir yang sesuai hukum Marfu’ ialah baris depan (dommah).

Melalui turutan teknik di atas, jelas bahawa Hukum akan ditentukan oleh Kedudukan. Alamat pula perlu dipilih daripada salah satu tanda hukum. Sebagai contoh hukum marfu’ mempunyai 4 (empat) tanda. Bagaimana cara untuk memilih? Anda perlu kembali melihat Kalimah. Tentukan jenis Kalimah tersebut seperti Isim Mufrad, Jamak Muzakkar/Muannas Salim dsb.

قَامَ المُعَلِّمُونَ

  1. Kalimah: al-Muallimun
  2. Kedudukan: Selepas Kata Kerja (KK) – oleh itu, al-Muallimun ialah Pelaku (فاعل)
  3. Hukum: Disebabkan al-Muallimun = Fael, maka hukum Fael ialah Marfu’
  4. Alamat: Kalimah al-Muallimun ialah Jamak Muzakkar Salim, tanda ikrab yang sesuai ialah huruf Waw.

Tambahan: Huruf Waw di sini menunjukkan makna jamak. Nun pula merupakan gantian kepada baris Tanwin yang tidak dapat muncul pada huruf Mim terakhir. Oleh itu, perubahan ikrab akan terjadi pada huruf Waw, bukannya Mim kerana Mim sudah tidak menjadi huruf terakhir. Manakala huruf Nun pula hanya sekadar tambahan.

#2 Memahami Makna Ayat

Sebelum mendalami tiga (3) komponen ikrab, kita perlu memahami dulu bagaimana makna ayat difahami oleh pendengar atau pembaca.

Dalam mana-mana bahasa di dunia, perkataan-perkataan yang tersusun dalam ayat mempunyai fungsi (mawqi’) tersendiri. Fungsi perkataan ditentukan melalui:

1. Turutan perkataan
2. Makna konteks

2.1 Turutan Perkataan

i) Budak itu pergi ke kedai tadi.

Mari kita cerakinkan fungsi kelima-lima perkataan dalam ayat di atas.
1. Budak: Subjek
Definisi “subjek” menurut PRPM ialah:

(1) sesuatu yg diceritakan dll; perkara: Apa ~ yg akan dibincangkan oleh mereka nanti? (2) ist kata atau kata-kata yg merupakan perkara atau hal yg diceritakan dlm sesuatu ayat.

Daripada definisi ini, difahami bahawa “Budak” pada ayat (i) melengkapi makna subjek kerana ayat tersebut sedang menceritakan perihalnya. Perihal ini diterangkan melalui penggunaan kata kerja selepasnya – pergi. Selain itu, kedudukan “Budak” di pangkal ayat turut menjadi penanda subjek.

TLDR: Kesimpulannya, kedudukan di awal ayat dan berada sebelum kata kerja dapat menentukan subjek dalam ayat.

2.2 Makna Konteks

ii) Budak itu tadi pergi ke kedai.

Dengan merujuk ayat yang sama namun turutan perkataan diubah sedikit, mari kita perhatikan perkataan “tadi”.
2. tadi: adverba
Definisi adverba menurut PRPM ialah:

kata yg menjawab pertanyaan bagaimana, bila, di mana dan menerangkan kata kerja, adjektif dll (spt dgn baik, dgn cepat, dahulu, sering); kata keterangan.

Tanpa mengetahui definisi ilmiah bagi perkataan adverba sekalipun, kita pasti dapat memahami bahawa perkataan “tadi” dalam ayat di atas adalah untuk menerangkan jenis kata kerja “pergi”. Hal ini disebabkan oleh kefahaman kita melalui konteks ayat tersebut, lalu memungkinkan kita mengerti apa yang disampaikan. Cuba lihat ayat di bawah dan jawab persoalan berikut:

iii) Tadi dia ke kedai.

  1. Adakah ayat ini lengkap (difahami)?
  2. Siapa subjek dalam ayat?
  3. “Tadi” menerangkan perkataan apa?

Ya, ayat di atas ialah ayat lengkap kerana tidak timbul keraguan di benak pendengar. Subjek ayat pula ialah “dia” kerana salah satu syarat menjadi subjek ialah Kata Nama (KN). Walaupun tidak berada di pangkal ayat, sifat “sesuatu yang diceritakan” dipenuhi oleh KN “dia”.

Kedudukan adverba “tadi” yang berada di awal ayat tidak mengubah statusnya sebagai penerang ayat; menerangkan kata kerja. Lalu, di manakah kata kerja?

Kata kerja dalam ayat tersebut telah digugurkan kerana sudah jelas difahami walaupun tidak disebut – pergi.

TLDR: Pada ayat (iii), turutan perkataan adalah sedikit berkecamuk namun makna ayat jelas difahami kerana kewujudan konteks ayat yang sarih.

#3 Menentukan Mawqi’ Ikrab

ِTiga huruf asal bagi perkataan Mawqi’ ialah waw-qaf-ain (وقع) yang boleh diertikan sebagai:
1. berlaku, terjadi
2. jatuh (cinta, perangkap)

Penambahan huruf Mim pada tiga huruf asal boleh memberi makna tempat – tempat terjadi/terjatuh. Oleh itu, makna mawqi’ ialah kedudukan.

Dari sudut ilmu tatabahasa, kedudukan sesuatu perkataan akan datang bersama fungsi – pelaku, objek, perlakuan, dsb. Fungsi-fungsi tatabahasa ini perlu difahami sendiri oleh pendengar dan pembaca. Namun begitu, fungsi ini dapat dikenali melalui kedudukannya dalam ayat.

Mari saya ringkaskan secara kasar bagaimana fungsi ini boleh wujud.

1. Pelaku (فَاعِلٌ)
Merujuk kepada bait syair Alfiyah Ibn Malik, Fael terhasil selepas wujudnya Fi’il (Kata Kerja). Nazam syair tersebut berbunyi:

وَبَعْدَ فِعْلٍ فَاعلٌ فَإنْ ظَهَرْ ** فَهْوَ وَإلاّ فََضَمِيرٌ اسْتَتَرْ
Maksud: Dan selepas kata kerja (fiil) itu pelaku (fael) hanya jika jelas. Jika tidak (jelas), maka pelaku bagi kata kerja itu ialah domir yang tersembunyi (mustatir).

Daripada petikan bait di atas, pengecaman Fael dapat dilakukan dengan mengesan Fiil (Kata Kerja) dalam ayat. Apa yang lebih menarik, Ibn Malik menerangkan Fael itu datang directly selepas Fiil.

iv) رَجَعَ أَبُوكَ

Fael dalam ayat (iv) ialah abuuka (أبوك) kerana berada selepas kata kerja رجع (pulang). Contoh Fael pada ayat (iv) merupakan contoh yang jelas. Sebaliknya, jika tidak jelas, Ibn Malik menyatakan bahawa Fael tersebut akan diwakili oleh KGN (domir) yang terdapat pada Fiil dalam ayat.

v) يَكْتُبُ رِسَالَةً

Secara harfiah, ayat (v) diterjemah sebagai “menulis surat”. Walaupun “surat” merupakan KN (kata nama) yang berada langsung selepas kata kerja, ia tidak dapat berada pada kedudukan Fael atas dua sebab:
1. Makna konteks yang menyalahi logik akal (takkan lah surat yang menulis?)
2. Struktur bahasa yang tidak lengkap – kata kerja transitif (muta’addi) memerlukan pelaku + objek (KN + KN). Dalam ayat (v), hanya terdapat satu KN.

Rujuk kembali nazam syair Ibn Malik di atas, “jika tidak jelas, maka pelaku bagi kata kerja itu ialah domir yang tersembunyi.” Oleh itu, struktur sebenar ayat (v) tadi ialah (يَكْتُبُ هُوَ رِسَالَةً). Domir (هو) telah digugurkan dalam ayat kerana kata kerja tersebut telah mengandungi makna domir tersebut.

TLDR: Kedua-dua ayat (iv) dan (v) menunjukkan bahawa secara asasnya, Fael akan terhasil dengan kewujudan Fiil dan perlu berada secara sebelah-menyebelah (juxtapose). Namun, sekiranya makna konteks dapat difahami dengan jelas, Fael boleh dipisahkan daripada Fiil. Tetapi hanya terpakai untuk pelaku yang jelas.

#4 Ringkasan Mawqi’ dan Hukum Ikrab

Untuk memudahkan kefahaman pembaca, saya sediakan ringkasan kedudukan sesuatu fungsi beserta klu untuk sesi pengecaman.

Mawqi’Syarat (Amil)Hukum
Fael
BM: Pelaku
FiilMarfu’
Mubtada
BM: Subjek (KN)
Marfu’
Khabar
BM: Predikat
MubtadaMarfu’
Maf’ul Bih (MB)
BM: Objek
Fiil Muta’addi + FaelMansub
Maf’ul dan Saudaranya
Li-Ajlih/Ma’ah/Fiih
Fiil + FaelMansub
Haal
BM: Adverba
Fiil + FaelMansub
Ba’d Harf Jar
BM: Partikel/Kata Sendi
Harf JarMajrur
Mudaf Ilayh
BM: Kata Penerang
KN NakirahMajrur
Jadual 4.1 Menentukan Mawqi’ Berdasarkan Syarat

Cara untuk membaca jadual ini ialah- sebagai contoh kita ingin mengenal pasti khabar dalam ayat. Syarat untuk kewujudan khabar ialah mempunyai Mubtada’. Jadi, Mubtada’ perlu dicari terlebih dulu. Setelah itu, kita boleh mengikrab Khabar dengan hukum Marfu’. Manakala tanda (alamat ikrab) pula perlu merujuk kembali kepada jenis kalimah.

Hukum setiap Mawqi’ adalah tidak berubah. Sebut saja Fael, sepatutnya akan terus terlintas hukum Marfu’ dan kemahiran ini tidak akan diperoleh selain daripada hafalan dan kefahaman yang baik. Jika diamati secara kasar, ada perbezaan kecil pada ketiga-tiga hukum marfu’, mansub dan majrur:

Marfu’MansubMajrur
Subjek ayatObjekmengikuti Kata Sendi
yang membuatyang dibuatpenerangan tambahan
Jadual 4.2 Perbezaan Fungsi Tiga Hukum Ikrab

Golongan kata yang menduduki tempat marfu’ pada asasnya terdiri daripada subjek (mubtada’) dan orang yang melakukan sesuatu (fael). Dalam bahasa Melayu, kedua-dua subjek ayat dan pelaku tidak dibezakan dengan jelas kerana ketidakwujudan Jumlah Ismiyyah dan Jumlah Fiiliyah.

Mubtada’ hanya wujud apabila ayat dimulakan dengan kata nama, manakala Fael pula wujud hanya dengan kewujudan Fiil. Beza bukan? Dalam BM, pelaku lah subjek, subjek lah subjek >.<

#5 Menentukan Tanda Ikrab

Penentuan tanda ikrab adalah sedikit sukar pada awalnya, namun ia sebenarnya berkisar sekitar benda yang sama. Analoginya, U lawannya I. Maka, U dalam kumpulan marfu’, I dalam kumpulan mansub. Hanya perlu ingat lawan dan salingan setiap fungsi.

Jadual berikutnya saya klasifikasikan mengikut jenis perkataan kerana saya tekankan dari awal bahawa penentuan tanda ikrab – perlu melihat jenis kalimah.

KalimahMarfu’MansubMajrur
Isim MufradDhommahFathahKasrah
Jamak TaksirDhommahFathahKasrah
Jamak Muannas SalimDhommahKasrahKasrah
Jamak Muzakkar SalimWawYa’Ya’
Isim Lima (5)WawAlifYa
MusannaAlifYa’Ya’
Mamnu’ min as-SarfDhommahFathahFathah
Jadual 5.1 Tanda Ikrab Berdasarkan Kalimah

Jadual 5.1 di atas hanya menyenaraikan golongan Kata Nama (KN) dan tidak melibatkan ikrab bagi KK. Bagi KK, hanya Fiil Mudorik yang mempunyai ikrab manakala Fiil Madi dan Amar adalah bersifat Mabni (Tekal).

#6 Kesimpulan

Posting ini hanya memberikan gambaran asas kepada pemahaman ilmu ikrab. Hakikatnya, ilmu ikrab merupakan satu keabsahan bagi menjitukan lagi kefahaman pembaca terhadap satu-satu teks seperti yang direalisasikan oleh para ulama dalam menafsirkan teks-teks kudus dan para pengkaji dalam menelaah teks sastera Arab tradisional dan moden.

Adapun untuk memahami makna secara tahap asas, konteks ayat sebenarnya cukup untuk memberikan kita kefahaman.

Tuntasnya, belajarlah ilmu ikrab sedalamnya. Paling kurang, perbahasan-perbahasan ulama dalam bidang hadis, tafsir, nahu dan agama dapat kita fahami.

“Ilmu tanpa amal, seperti pohon tanpa buah.”

One thought on “Memahami Asas Ikrab Bahasa Arab

Leave a comment