5 Kerjaya Bahasa Yang Relevan Masa Kini (Dan Tak Sangka Ada)

Postingan lepas kita dah sentuh mengenai peluang menyambung pengajian sarjana di universiti tempatan. Tapi tak semua yang berminat nak sambung belajar kerana majoriti akan fokus lebih pada pembinaan kerjaya. Jom kita lihat apa kerjaya yang pelajar bidang bahasa boleh ceburi pada RI4 (Revolusi Industri Keempat).

Baca juga: Master Bahasa Arab di Universiti Awam Malaysia

#1 Content Moderator

Jangan silap baca, bukan content creator, tapi content moderator.

Tugas seorang content moderator adalah pelbagai, bergantung kepada projek yang ditugaskan. Secara umumnya, boleh dikatakan tugas utama mereka adalah untuk menapis kandungan-kandungan yang terdapat di Internet. Tapisan ini melibatkan perkara-perkara sensitif seperti kata-kata kesat, keganasan, pornografi dan sebagainya.

Selain itu, content moderator juga dikenali sebagai content analyst. Jadi, mereka bertindak sebagai penganalisis sesuatu bahan untuk melatih sistem seperti Google Translate, pengecaman wajah, suara dan bahasa. Andaikan anda mengajar komputer satu ilmu baharu supaya nanti komputer tersebut dalam menganalisis sendiri. Bagi projek sebegini, ayat-ayat atau tulisan di laman media sosial akan menjadi makanan anda setiap hari. Tugasan anda adalah untuk membuat tagging iaitu menentukan jenis ayat, jenis perkataan dan jenis struktur bahasa. Ini hanya satu cabang sahaja tau.

Kelayakan yang diperlukan adalah sama sahaja. Projek-projek ini dibezakan melalui kemahiran bahasa. Sekiranya anda mempunyai kemahiran bahasa Korea atau Jepun pada tahap yang tinggi dan memuaskan, sila mohon! Gaji yang ditawarkan sangat lumayan iaitu sekitar RM5,000 – 6,000 untuk fresh graduate. Antara bahasa yang diperlukan ialah:
1. Korea – sekurang-kurangnya TOPIK Level 4 (Level 3 boleh cuba)
2. Jepun – JLPT N2 (N3 boleh cuba)
3. Arab – dapat memahami bahasa Arab pasar (dialek Mesir/Syria/sedikit Maghribi)
4. Indonesia/Malaysia
5. Thailand
6. Mandarin
dan lain-lain bahasa yang anda tidak pernah bayangkan 🤫

Antara syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan ini di Malaysia ialah:
1. Accenture
2. Cognizant
3. Bytedance

Tips: Kata kunci yang anda boleh gunakan untuk tujuan pencarian kerjaya ini di LinkedIn atau di mana-mana platform media sosial ialah:
1. Content Moderator
2. Business Process Delivery
3. Content Review Analyst
4. Content Reviewer

Jika berminat, boleh ke laman sesawang syarikat tersebut, atau lebih mudah, anda tanyakan kepada rakan-rakan dan kenalan yang bekerja di sana sekiranya ada kekosongan.

Pautan yang mungkin membantu:
1. Accenture
2. Bytedance (TikTok)
3. LinkedIn – buat carian di kotak carian
4. Cognizant

#2 Content Creator

Perkembangan media sosial ke tahap kemuncak sudah mencungkil pelbagai bakat dan kreativiti. Bakat yang anda miliki sekiranya pandai diolah, boleh memberikan anda pendapatan yang lumayan.

Tahukah anda bahawa pengguna TikTok meningkat lebih daripada 1 juta orang dari tahun 2021 ke tahun 2022? Tunggu apa lagi, tunjukkan skill anda di sini! Skil yang diperlukan tidak semestinya kemahiran berlakon, menari atau membuat lawak. Kepandaian anda juga boleh dimanfaatkan.

Bina audiens anda melalui penyampaian sesuatu subjek kemahiran anda dengan gaya yang ringan, bersahaja tetapi difahami dan ceria. Contohnya kemahiran berbahasa Arab. Tunjukkan bagaimana untuk berkomunikasi dengan santai sekiranya disapa oleh orang Arab. Pandai bahasa Korea? Cari satu drama Korea yang sedang hangat diperkatakan, petik satu adegan dan keluarkan dialog tersebut supaya orang lain pun boleh ikut faham.

Social media icons vector set with Facebook, Instagram, Twitter, TikTok, YouTube logos. Courtesy of freepik.com

Menceburi kerjaya sebagai seorang content creator dilihat tidak memerlukan modal, tetapi sebenarnya banyak modal yang perlu dilaburkan dari segi masa (ya, suntingan video sangat memakan masa yang lama), dari segi setup (kamera, software) dan juga pastilah, wang anda.

Apa yang penting, anda perlu memberikan tawaran dulu kepada audiens agar anda dapat membina nama di platform ini. Apabila nama anda sudah established, anda boleh tawarkan perkhidmatan sama ada home tutor, kursus pendek (short courses), dan nota-nota ringkasan.

Jangan terlalu mengharap pada awalnya, usaha dulu. Nanti dah lama, in shaa Allah, pulangan akan datang, dan berbaloi. Tolong jangan bina nama melalui cara kotor (prank, lawak rasis, dsb).

#3 Copywriter

Kesan daripada jumlah content creator yang semakin ramai, mereka sebenarnya memerlukan orang lain untuk menyediakan skrip kandungan mereka. Awak ingat, mereka sempat ke nak buat sendiri semuanya? 🤭

Melalui permasalahan ini lah, hadirnya copywriter atau lebih dikenali sebagai skil copywriting. Kerjaya sebagai seorang copywriter sebenarnya tidak mewajibkan seseorang individu untuk mempunyai kelulusan linguistik untuk bermula. Cukup sekadar anda mempunyai kemahiran untuk mengolah ayat dan sedikit kemahiran untuk bermain dengan perasaan pembaca. Kadang, pelajar psikologi pun power main ayat ni. 😬

Gaji? Anda nilai sendiri 😄

Gaji pokok yang ditawarkan di atas merupakan salah satu hasil carian saya di LinkedIn dan gaji untuk seorang fresh graduate! Lumayan bukan? Bergantung kepada pengalaman anda dalam bidang copywriting, anda boleh demand dengan majikan anda untuk jumlah gaji yang lebih besar.

Selain itu, anda juga boleh memilih untuk menjadi seorang freelancer tanpa terikat dengan majikan dan waktu pejabat (WFH). Untuk menceburi kerjaya ini, mulakan dengan menawarkan perkhidmatan anda kepada content creators di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Setiap kali tugasan anda selesai, kumpulkan hasil kerja dalam satu fail PDF dengan kemas dan anda dah boleh sasarkan kepada syarikat yang lebih ternama untuk pulangan yang lebih banyak.

Banyak kelas copywriting yang ditawarkan. Tapi untuk permulaan, sila ikuti dulu akaun-akaun figura yang banyak memberikan info dan tips copywriting. Paling banyak saya perhatikan adalah di Twitter.

Pesanan akhir: Jangan hadkan kerjaya copywriting pada iklan-iklan di media sosial semata-mata. Penulisan blog, artikel dan skrip video juga termasuk dalam bidang ini. Paling penting, anda kreatif dan sentiasa terbuka untuk belajar.

#4 Translator/Penterjemah

Setiap lepasan kursus bahasa asing di universiti pasti pernah ditanya, “Habis belajar nak jadi apa? Penterjemah ke?”.

Ya, itulah pekerjaan yang paling orang nampak dan jelas kerana salah satu sebab kita mempelajari bahasa asing adalah untuk memahami bahasa tersebut. Jadi, saya tak perlu terangkan dengan lebih lanjut mengenai pekerjaan ini. Cumanya, untuk menceburi bidang profesional ini, anda perlu mempunyai kemahiran bahasa yang tinggi pada kedua-dua bahasa, sumber dan target. Bahasa Arab anda hebat, tetapi bahasa Melayu anda ke laut. Maaf, anda belum layak.

Bagi pemula, anda perlu membina networking terlebih dulu. Siapkan diri anda pada tempoh universiti untuk menghulurkan bantuan kepada pensyarah-pensyarah untuk menterjemahkan dokumen mudah, menulis e-mel, abstrak pelajar sarjana dsb. Nanti, pensyarah tersebut akan mencadangkan nama anda kepada pensyarah yang lain.

Untuk menempatkan diri di kedudukan yang lebih tinggi, daftarkan diri anda dalam kursus terjemahan yang dianjurkan oleh ITBM (Institut Terjemahan Buku Malaysia) atau PPM (Persatuan Penterjemah Malaysia).

Rujuk Senarai Kursus di sini: ITBM dan PPM

Kedua-dua organisasi ini merupakan organisasi rasmi dan perlu diingatkan bahawa bidang penterjemahan ialah salah satu kerjaya bidang profesional. Jadi, sebaiknya anda mendaftar dengan badan rasmi yang mengawal selia bidang tersebut. Dengan memiliki sijil akuan yang sah, anda boleh menetapkan kadar terjemahan yang lebih tinggi. Tapi, sijil saja tak cukup jika kemahiran terjemahan masih kaku.

Jangan risau, mula dulu dari bawah. Lama-kelamaan, nilai diri anda akan terus meningkat. Yang penting, usaha! ☝️😌

#5 Pekerja di Pejabat/Konsulat Kedutaan

Jangan main-main, ada konsulat kedutaan memberikan gaji yang besar kepada pekerja. Dan jangan fikir juga bahawa semua pekerja di pejabat duta hanya terdiri daripada rakyat warganegara kedutaan tersebut sahaja. Pihak kedutaan memerlukan khidmat warga tempatan bagi memudahkan komunikasi dengan pelanggan. Anggaplah kita yang bekerja di sana sebagai seorang orang tengah.

Kekosongan jawatan di Pejabat Kedutaan selalunya tidak diiklankan secara umum. Anda perlu melakukan inisiatif sendiri dengan mencuba nasib untuk memohon pekerjaan di mana-mana duta yang anda suka.

Selain menjadi kerani, kerja-kerja lain yang berkaitan ialah menguruskan media sosial rasmi kedutaan seperti Facebook, Twitter, untuk menyebarkan maklumat-maklumat semasa kepada warga tempatan.

#Penutup

Pelajar lepasan bidang bahasa/linguistik sebenarnya mempunyai peluang pekerjaan yang meluas pada masa hadapan. Apa yang penting, tingkatkan kemahiran bahasa anda setiap hari. Cari satu bidang khusus yang anda ingin fokuskan, dan perbanyakkan bacaan semasa agar kosa kata sentiasa bertambah.

Jangan lupa, dalami juga bahasa ibunda anda agar perbandingan kontrastif antara dua bahasa dapat dilakukan dengan lebih tepat dan sempurna. Last but not least, be creative.

Leave a comment